Friday, March 06, 2009

Resident Evil 2

Oleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI

Dalam RE2, pemain akan mengembara ke banyak lokasi yang terdapat di bandar Raccoon sambil menyelesaikan teka-teki dan membunuh zombie.




DALAM permainan RE2, pemain akan mengawal watak utama daripada pandangan pihak ketiga.

RESIDENT Evil 2 (RE2) merupakan sebuah permainan bertemakan survival horror terbitan Capcom. Di Jepun, ia dikenali sebagai Biohazard 2. Asalnya, ia diterbitkan untuk platform Sony Playstation, tetapi kerana sambutan yang hangat selepas terjual sebanyak 4.96 juta unit, ia telah dibawa kepada platform lain seperti PC, Sega Dreamcast dan Nintendo64. Ia merupakan sambungan daripada RE, juga untuk Sony Playstation.


RE yang dikenali ramai mungkin adalah versi filem yang dibintangi Milla Jovovich. Namun, sekiranya ingin mengetahui jalan cerita yang sebenar, anda disarankan supaya bermain kesemua siri RE yang ada. Kesemua siri dalam RE berhubung rapat antara satu dengan lain. Antara siri-siri utamanya ialah RE Zero, RE, RE 2, RE 3: Nemesis, RE Code: Veronica, RE 4, RE: The Umbrella Chronicles.


Terbaru, dan yang dinantikan ramai gamer seluruh dunia ialah Resident Evil 5, yang hanya akan diterbitkan ke console next-gen iaitu Playstation 3 dan Xbox 360. Ia akan dilancarkan pada Mac ini.

Plot

Ekoran daripada peristiwa yang berlaku dalam Resident Evil pertama, RE2 menceritakan tentang pengembaraan di bandar Raccoon. Ketika ini, virus T yang dihasilkan syarikat Umbrella telah menjangkiti hampir kesemua penduduk bandar Raccoon, di mana virus ini memutasikan mangsa menjadi zombie yang dahagakan darah dan daging segar. Dua watak utama iaitu Leon S. Kennedy dan Claire Redfield bakal berdepan dengan musuh-musuh yang menggerunkan.
Leon merupakan seorang anggota polis prebet yang baru dan di pindahkan ke balai polis Raccoon City. Ketika kejadian dalam RE2, dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja barunya. Claire pula ialah seorang pelajar universiti yang sedang mencari abangnya, Chris Redfield (daripada siri Resident Evil) yang disangkakan hilang.

Permainan

RE2, sama seperti semua siri Resident Evil, digerakkan oleh penyelesaian teka-teki. Pemain akan mengawal watak utama daripada pandangan pihak ketiga dan jika dimainkan menggunakan console Playstation, kawalan akan menjadi lebih mudah menggunakan analog stick.

Pemain akan mengembara ke banyak lokasi yang terdapat di bandar Raccoon iaitu dari balai polis Raccoon ke saluran longkang bandar hinggalah ke makmal sulit syarikat Umbrella sambil menyelesaikan teka-teki dan membunuh zombie.

Pemain boleh menggunakan pelbagai senjata api untuk membunuh zombie. Di antaranya ialah handgun dan magnum. Namun pemain harus beringat kerana peluru untuk senjata api amat susah untuk dijumpai. Jadi, pemain harus bijak membunuh zombie dan menggelakkan membazir peluru.

Senjata-senjata istimewa boleh didapati apabila pemain menamatkan permainan, sebagai contoh pelancar roket. Senjata berat ini amat berkesan membunuh zombie dengan satu tembakan.
Dalam permainan, meter kesihatan watak utama akan terpapar di skrin. Apabila pemain digigit zombie, meter ini akan turun. Apabila kesihatan berada pada tahap 50 peratus, watak utama akan melilit tangan di perut manakala apabila kesihatan di tahap 20 peratus, watak utama akan berjalan tempang. Ini membolehkan zombie mengejar dengan cepat.

Harus diingatkan kepada pemain, RE2 ialah sebuah game yang amat suspens dan kebanyakan persekitarannya di dalam gelap. Zombi boleh muncul pada bila-bila masa dengan diiringi lagu latar yang seram.

Apabila tamat permainan, pencapaian pemain akan dinilai daripada tempoh yang diambil untuk tamat, jumlah save yang dibuat dan jumlah first aid spray yang digunakan. Daripada ini, bonus seperti senjata istimewa dan watak tersembunyi dapat digunakan.

True Ending

Sebelum memulakan RE2, pemain harus memilih watak utama sama ada untuk bermula dengan Leon atau Claire. Untuk console Playstation, cakera 1 adalah untuk mengawal Leon dan cakera 2 untuk Claire.

Tidak kira watak mana yang dipilih untuk bermula, jalan cerita adalah sama bagi kedua-dua watak utama. Untuk mendapatkan True Ending, pemain harus menamatkan permainan untuk kali pertama. Apabila tamat, game ini akan membuka File B untuk dimainkan oleh watak utama yang belum dipilih pemain.

Apabila bermain menggunakan File B, pemain dapat memahami jalan cerita dengan lebih mendalam, di samping dapat menghargai usaha menamatkan permainan menggunakan watak utama sebelum ini. Ini kerana setiap langkah dan tindakan yang diambil watak sebelum ini akan mempunyai kesan terhadap watak utama yang dimainkan menggunakan File B.

0 comments:


Free Blogspot Templates by Isnaini Dot Com. Powered by izz86